Secara bijaksana Allah memperlihatkan kekuasaan mutlak milik-Nya itu dengan awalan kalimat Subhanal-ladzii (Maha Suci Allah) iaitu dalam ayat surah al-Israk ayat 1 yang menjadi dalil naqli bagi mengesahkan kebenaran mengenai kejadian yang besar itu.
Firman Allah, Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami memperlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat
Oleh kerana kedua-dua peristiwa iaitu Israk dan Mikraj itu sangat menakjubkan setiap umat Islam pasti menyebut subhanallah berulang kali kerana yakin dengan bentuk mukjizat yang Allah kurniakan kepada baginda SAW
Ia memerlukan satu bentuk keimanan yang sangat tinggi sehingga ada yang menyebutnya sebagai haqqul yaqin (keyakinan atas kemutlakan Allah Yang Maha Berkuasa) bagi sesiapa yang dapat mempercayai kedua-dua kejadian ini di saat ada yang mendakwa kononnya kisah Israk dan Mikraj adalah salah satu daripada kisah-kisah Israiliyyat atau hadis-hadis yang bersifat mauduk dan sebagainya.
Apatah lagi apabila disebutkan Rasulullah menaiki buraq, iaitu berasal dari perkataan barq bererti kilat. Jadi adakah kelajuan yang dicapai oleh buraq itu menyamai lajunya kilat? Iaitu sebahagian dari fenomena alam yang dari aspek sainsnya merupakan satu gelombang elektromagnet dengan kadar kelajuan maksimumnya adalah seperti kelajuan cahaya.
Jika kita membacanya di mana-mana pelbagai kisah diceritakan mengenai buraq. Malah terdapat juga gambaran-gambaran lukisan mengenainya.
Sama ada mempunyai sumber yang sahih mahupun tidak, tetapi buraq berasal daripada cahaya bagi membolehkan ia bergerak melebihi kepantasan cahaya. Iaitu 'sekelip mata' pantasnya.
Namun, kita percaya soal buraq ini seadanya tanpa perlu berlebih-lebihan kerana yang pasti tanpa menaiki kenderaan ini tidak mungkin baginda Rasulullah mampu melalui satu perjalanan yang jauh dan kembali semula ke Mekah dalam tempoh hanya sebahagian malam.
Ia berlaku pada malam 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah, tahun ke-11 Nabi Muhammad dilantik menjadi rasul.
Allah kurniakan kepada Nabi Muhamad akan kejadian yang begitu besar maknanya ini sebagai memujuk kembali hati Rasulullah yang begitu berduka ekoran pelbagai musibah berturut-turut menimpa baginda, iaitu:
- Peristiwa diboikot dan dipulau oleh kaum kafir Quraisy selama tiga tahun yang menyebabkan seluruh kaum keluarga dan pengikut baginda teruk menderita.
- Kehilangan dua insan tersayang, iaitu kewafatan bapa saudara baginda, Abu Talib bin Mutalib yang banyak melindungi baginda dari gangguan kaum kuffar Mekah dan disusuli kewafatan isteri kesayangan, Siti Khadijah yang terlalu banyak berkorban.
- Apabila dakwah baginda ditolak mentah-mentah malah baginda diserang sehingga mengalami cedera ketika baginda mula untuk berdakwah di luar di lingkungan kota Mekah, iaitu apabila baginda pergi ke Taif.
Umat Islam yang tidak mempercayai peristiwa ini bukan berdasarkan kejahilan tetapi kerana sikap sombong mereka terhadap kemuliaan Al Quran.
with LOVE...